Thursday, June 28, 2007

Sesekali lepaskan tension..


My New Camera - Sony Cyber-shot DSC-G1


JIKA anda adalah peminat fotografi, tetapi juga kategori mereka yang sentiasa mahu didendangkan dengan irama muzik, sudah tentunya anda perlu menggalas dua gajet, kamera dan pemain MP3 atau walkman. Bagaimanapun teknologi kini memudahkan mereka yang sebegini. Sony baru-baru ini memperkenalkan kamera digital terbarunya, Cyber-Shot DSC-G1. Dianggap sebagai antara kamera digital terbaik pernah dikeluarkan pengeluar kelengkapan elektronik utama dunia itu, model ini menggabungkan fungsi kamera digital dan pemain MP3. Malah dengan mengguna pakai teknologi Gabungan Rangkaian Digital (DLNA), anda boleh menghantar rakaman imej atau video yang diambil kepada pihak lain dengan syarat mereka turut memiliki kamera atau peranti lain yang mempunyai teknologi sama. Justeru, jika anda merakamkan saat-saat penting yang mahu dikongsi dengan rakan atau saudara mara, model ini berkemampuan melakukannya, malah pada masa sebenar, teknologi pertama seumpamanya di dunia. Sistem pemain MP3 pada Sony Cyber-Shot DSC-G1 ini mampu menghiburkan anda dengan simpanan lagu pada format yang dipindahkan terus daripada koleksi di dalam komputer peribadi anda melalui sambungan kabel USB. Dengan sistem bunyi yang mampu memberikan gema ‘bass’ yang ketara, model ini secara tidak langsung boleh bertindak sebagai pemain MP3 yang baik dengan tempoh masa permainan dan kapasiti storannya agak besar. Namun, di sebalik teknologi pelbagai fungsi yang ditampilkan, model ini tidak mengabaikan fungsi utamanya, iaitu sebagai perakam imej. Ia menggunakan lensa Carl-Zeiss Vario Tessar yang mampu menghasilkan janaan imej mengagumkan melalui teknologi penstabilan imej secara optikal. Kamera ini kelihatan bertambah elegan dengan saiznya yang agak sederhana dan ringan, selain panel paparan cecair kristal (LCD) lebar dengan resolusi 921,000 piksel, sekali gus memudahkan anda memfokuskan imej yang jauh. Resolusi itu adalah empat kali lebih berkuasa berbanding rangkaian model Cyber-Shot yang pernah dikeluarkan sebelum ini. Model terkini ini turut membolehkan anda melihat kembali rakaman imej melalui persembahan slaid interaktif yang diiringi muzik. Dengan pilihan ketajaman imej sehingga enam megapiksel, anda boleh membuat pilihan ketajaman imej pada kadar 3:2, tiga megapiksel, dua megapiksel, VGA dan 16:9. Selain itu, bagi yang gemar membuat rakaman video buat simpanan peribadi, model ini memberikan pilihan ketajaman imej pada resolusi 640X480 piksel atau 320X240 piksel. Model terbaru ini mempunyai kapasiti storan dua gigabait simpanan dalaman, membolehkan anda menjimatkan masa daripada menguruskan kad media tambahan seperti model sebelum ini. Ia berupaya menjadi album foto maya kerana keupayaannya menyimpan kira-kira 7,500 foto berkualiti VGA atau kira-kira 600 gambar dengan ukuran enam megapiksel pada satu-satu masa. Jika simpanan tambahan diperlukan, kapasiti kamera berkenaan boleh ditambah dengan kad media Memory Stick Duo tambahan atau kad Memory Stick PRO Duo yang kedua-duanya mempunyai kapasiti sehingga lapan gigabait. Pada masa sama, model ini turut memberi pilihan ‘mode’ fokus secara digital, yang mana kamera itu akan membesarkan imej menggunakan zoom optikal sehingga tiga kali saiz normal. Selain itu, anda boleh berkongsi rakaman video atau imej dengan rakan atau saudara dengan syarat, kamera mereka turut mempunyai fungsi Wi-Fi seperti yang ditawarkan model ini. Ia turut menyediakan kabel khusus bagi membolehkan anda menonton rakaman video di peti televisyen menggunakan sambungan A/V, justeru saat-saat keriangan yang dirakamkan boleh ditonton beramai-ramai pada satu masa. Sony Cyber-Shot DSC-G1 turut dilengkapi perisian ‘Album Editor’ bagi membolehkan anda memindahkan imej yang dirakam kepada komputer peribadi anda dan perisian ‘Picture Motion Browse’ bagi membuat perubahan pada imej yang dirakam.