Wednesday, May 24, 2006

8P-untuk kebahagiaan rumah tangga..

Penceramah, Siti Nur Bahyah Mahmood, 40, yang terkenal dengan teknik ‘Cakar Harimau’, menurunkan petua 8P kepada pasangan yang menghadapi masalah rumah tangga bagi mengelakkan ia berakhir dengan perceraian.

Siti Nur Bahyah berkata, P yang pertama ialah ‘puji’ iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.

Katanya, P kedua ialah ‘peluk’ yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

“P seterusnya ialah ‘penghargaan’ di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

Perhatian adalah P keempat yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan,” katanya yang menulis buku Cakar Harimau - Tips Kebahagiaan Rumah Tangga, Amalan Ibu Mengandung dan Panduan Mencerdaskan Minda.

Siti Nur Bahyah berkata, P seterusnya mewakili ‘persefahaman’ kerana kerjaya sebagai artis memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.

Menurutnya, P selanjutnya membawa maksud ‘pergaulan’ iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

Beliau berkata, satu lagi P adalah ‘percutian’ di mana artis perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan peminat.

Katanya, P yang terakhir ialah ‘permohonan’ iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.

Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah sama bagi mengurangkan panas baran suami.

Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.

Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.“Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.
(telah di edit sedikit di perenggan pertama)