Monday, August 29, 2005

'Cinderella' buruan dunia


Cari maklumat Azrinaz pilihan Sultan Brunei
Oleh ZAINUDDIN ZAIN, MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Nama bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim, 26, yang berkahwin dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, 58, Sabtu lalu, kini ‘diburu’ penduduk dunia di internet untuk mencari maklumat mengenai ‘Cinderella’ itu, sekali gus melonjakkan namanya sebagai pencarian ‘terlaris’ di laman web antarabangsa.Malah, pencarian mengenai Azrinaz mengatasi perkara lain di dunia, termasuk selebriti dan tokoh dunia seperti Brad Pitt, Angelina Jolie, Michael Jackson dan George W Bush yang selama ini perkembangan mereka diikuti penduduk dunia.

Perasaan ingin tahu itu berpunca apabila hampir semua akhbar utama dunia, termasuk akhbar ‘online’, menyiarkan berita perkahwinan Azrinaz dan Sultan Hassanal Bolkiah, antara ketua kerajaan terkaya di dunia, yang dipetik daripada akhbar Malaysia, terutama dari Kumpulan The New Straits Times Press (M’sia) Bhd (NSTP).

Kemuncak kepada perasaan ingin tahu itu ialah apabila nama Azrinaz menduduki senarai teratas untuk maklumat berkaitan televisyen dan tempat ketiga keseluruhan dalam ruangan khas enjin carian Yahoo!, Yahoo! Buzz Index, Rabu lalu.

Pada hari itu saja, dianggarkan setengah juta carian (hit) menggunakan nama Azrinaz dicatatkan dalam tempoh sehari sehingga menduduki senarai teratas ruangan khas itu.

Anggaran jumlah itu diperoleh berdasarkan peratusan pencarian menggunakan nama Azrinaz Mazhar Hakim dalam enjin carian Yahoo! yang memaparkan peratusan sebanyak 589.54 peratus pada Rabu, 24 Ogos lalu.

Bagi laman web antarabangsa, terutama Yahoo!, pencarian melebihi 100,000 dikira cukup hebat yang meletakkan seseorang individu itu sebaris dengan tokoh terkenal dunia lain.

Lebih membanggakan, dalam 15 senarai dikemukakan laman web itu, Azrinaz adalah ‘gadis Melayu tunggal’ yang tersenarai sebaris dengan individu terkenal dan perkara menarik seperti rancangan televisyen dan filem luar negara.

Berdasarkan maklumat diberikan Yahoo!, pengiraan dibuat menggunakan kaedah 0.01 peratus mewakili satu carian, menjadikan anggaran keseluruhan sebanyak 589,540 carian untuk Azrinaz, Rabu lalu.
Lagi dari METRO..

No comments: