Friday, February 24, 2006

...antara yang terkaya..

Tiga usahawan Melayu antara individu terkaya

TIGA ahli perniagaan Melayu disenaraikan antara 20 individu paling kaya di Malaysia oleh majalah perniagaan, Malaysian Business.

Pengerusi Yayasan AlBukhary, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dengan kekayaan RM2.93 bilion menduduki tempat ketujuh manakala tokoh perbankan yang juga pengasas Arab-Malaysian Corporation, Tan Sri Azman Hashim berada di tangga ke-13 dengan kekayaan berjumlah RM675.50 juta.Pengarah Eksekutif AirAsia Bhd, Kamarudin Meranun berada di kedudukan ke-18 dengan kekayaan RM584.71 juta. Azman disenaraikan pada kedudukan ke-25 tahun lalu manakala Kamarudin pada kedudukan sama seperti tahun lalu.

Majalah perniagaan Malaysian Business memaparkan senarai 40 individu paling kaya dalam keluaran terbarunya bertarikh 16 Februari.

‘Raja Gula’ Tan Sri Robert Kuok Hock Nien kekal rakyat Malaysia paling kaya dan bernilai kira-kira RM21.5 bilion. Kekayaan dimiliki Kuok itu mewakili 27 peratus daripada keseluruhan kekayaan terkumpul 40 individu yang dimasukkan dalam senarai itu.Nilai dan kekayaan semua individu berkenaan dikira berasaskan nilai pegangan saham masing-masing dalam syarikat di Bursa Malaysia pada 20 Januari lalu.Kuok yang juga memiliki rangkaian Hotel Shangri-La, akhbar Hong Kong, South China Morning Post dan kumpulan syarikat hartanah, Kerry Properties, mendahului senarai 40 individu terkaya Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut.
Pemilik stesen televisyen satelit Astro dan syarikat telekomunikasi selular terbesar Malaysia Maxis, Tan Sri Ananda Krishnan menduduki tangga kedua dan bernilai RM10.97 bilion.

Tempat ketiga, Tan Seri Quek Leng Chan yang memiliki konglomerat Hong Leong (RM9.904 bilion), diikuti pengasas Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Goh Tong di tempat keempat (RM6.148 bilion) dan Pengerusi dan pengasas Kumpulan Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow di tempat kelima (RM6.097 bilion).Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng berada di kedudukan keenam dengan nilai RM3.89 bilion.Malaysian Business dalam kenyataan semalam berkata, secara keseluruhannya, nilai individu yang disenaraikan berkurang berikutan prestasi lemah Bursa Malaysia.

Antara muka baru dalam senarai individu terkaya adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tan Sri Tan Teong Hean, kedua-duanya antara pemegang saham utama dalam Southern Bank Bhd (SBB).
Muka baru yang disenaraikan adalah Ketua Eksekutif OSK Holdings Bhd, Ong Leong Huat, pemilik NexNews Bhd, Tong Kooi Ong dan Pengerusi Tan Chong Motors Holding Berhad (TCMH), Datuk Tan Heng Chew - Petikan dari Berita Harian

No comments: