Friday, November 05, 2004

Apa itu Raya..?

Raya

( 1 )
Bila sebut pasal raya
Semua ingat Hari Raya
Tapi jangan pulak kita lupa
Ada seribu satu kata
Berkait dengan raya
Selain Hari Raya

Tak kira apa bangsa
Orang melayu orang cina
Orang putih atau orang india
Orang timur orang barat
Di seluruh dunia
Ada hari raya

( korus 1 )
Kalau banyak harta benda
Orang itu kaya raya
Kalau tempat lalu kereta
Itulah jalanraya
Hentian bas ibu kota
Itu di Puduraya
Di tengah bandaraya

( korus 2 )
Kalau banyak jalanraya
Dipanggil lebuhraya
Bunga lambang negara
Namanya bunga raya
Tukang menyelenggara
Mengawas harta-benda
Jabatan Kerja Raya

Gembira kita di hari raya
Makan kenduri di balairaya
Kalau kita malas nak puasa
Kita sama macam hantu raya

Selamat hari raya
Selamatlah beraya

( ulang 1 )
( ulang dari korus1 hingga akhir )

Lagu: Jalil Hamid

Ke Halaman Koleksi Lirik Lagu Raya
Copyrigth © 2001 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)

1 comment:

Anonymous said...

Apakah tuntutan sebenar Hari Raya?

SYUKUR ke hadrat Allah SWT yang telah mensyariatkan puasa Ramadan dan diikuti dengan menyambut Hari Raya.
Seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada, tidak ada yang mahu ketinggalan melainkan yang tidak mampu untuk turut sama berhari raya.

Islam mensyariatkan dua kali sahaja hari raya dalam setahun, iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Qurban.

Dalam kedua-dua hari raya ini dengan jelas disyariatkan umat Islam bertakbir memuji Allah SWT dengan kalimah-kalimah syahdu yang berkumandang.

Mahfum takbir dan tahmid tersebut ialah, “Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, Allah lah Yang Maha Besar dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, di waktu pagi dan petang, siang dan malam, tidak ada tuhan melainkan Allah, Dia sahaja yang berhak disembah, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan kita diperintah untuk menjadi orang yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT.”

Apapun ungkapan kata-kata tersebut, semuanya menuju kepada membesarkan Allah SWT, boleh dikatakan setiap muslim tidak mahu ketinggalan dalam setiap hari raya untuk menyebut dan mengulangi Allah Yang Maha Besar! Allah Yang Maha Besar! Allah Yang Maha Besar!

Di sinilah dapat dilihat dengan mudah tuntutan sebenar dari dua syariat hari raya adalah untuk membesarkan Allah SWT.

Persoalan yang timbul, apakah umat Islam hari ini yang telah saban kali menyambut hari raya dengan menyebut Allahu Akbar beratus ribu kali di bulan Ramadan, hari raya dan selepas hari raya dengan kalimah azan, iqamah dan kalimah yang disyariatkan dalam solat, sudahkah penghayatan sebenar sebutan Allahu Akbar itu disempurnakan oleh manusia?

Di sinilah letaknya persoalan antara ibadat yang ritual yang ditunaikan secara kebiasaan dengan ibadat hakiki yang ditunaikan untuk mendapat hikmah sebenar daripada pensyariatan ibadah.

Khusus kepada hari raya yang Allahu Akbar itu menjadi tunjang kepada sambutan yang penuh bermakna dengan mengajakseluruh ummah dari pemimpin yang paling atas, paling berkuasa sehingga kepada yang paling bawah, semuanya dituntut untuk mengagungkan Allah SWT.

Makna yang sebenar daripada pengagungan tersebut adalah merupakan suatu konsep pegangan dalam kehidupan ini bahawa Allah sahajalah tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya.

Secara khususnya, Allah SWT sahajalah yang berhak mensyariatkan kepada manusia, peraturan dan undang-undang untuk dilaksanakan.

Hari raya mengajak manusia meletakkan undang-undang Allah di atas segala undang-undang.

Hari raya juga mengajak supaya manusia menghormati dan melaksanakan undang-undang Allah, tuntutan Allah tanpa mencari alasan yang dangkal untuk menidakkan hukum-hukum Allah.

Puasa Ramadan yang mengajar kita mengekang hawa nafsu, menahan diri dari segala macam kemaksiatan boleh memungkinkan berlakunya kejernihan hati, keutuhan peribadi untuk menjunjung perintah Allah.

Jika latihan di bulan Ramadan berhasil, nescaya akan lahir suatu keinginan yang amat mendalam untuk menjadi umat Islam yang mencintai agamanya, Allah sebagai tuhannya dan mencintai saudara seislamnya, menginginkan jihad terlaksana dengan menjadikan Islam itu kuasa tertinggi yang terterap dalam masyarakat.

Ini adalah supaya Islam akan dijadikan sebagai agama yang terjamin ketinggian, keutuhan dan kemajuannya.

Hari raya adalah hari besar yang tidak mungkin Allah mensyariatkannya semata-mata untuk bersuka ria dan jauh sekali seperti yang berlaku dalam masyarakat kita dengan melayan kehendak nafsu sehingga melanggar batasan syarak, dengan hiburan murahan dan perlakuan yang jelas melanggar hukum-hukum Allah SWT.

Jika itulah hari raya yang dirayakan di mana program-program yang diminati masyarakat melalui media-media elektronik dan cetak dipenuhi dengan berbagai program hiburan, lagi-lagi hiburan yang tidak bersendikan kepada peraturan syarak.

Maka jadilah ia akhirnya suatu hari raya untuk bersukacita dan bersukaria. Jika itulah tuntutannya, maka apakah hikmah itu memberi guna kepada manusia sedangkan manusia ini sudah begitu lama dilalaikan dengan hiburan.


Apakah tidak ada suatu usaha yang serius dibuat untuk mendidik ummah bagi mengajak mereka merayakan hari raya dengan mendekati perintah-perintah Allah, membesar dan mengagungkan Allah dan kepimpinan Rasullah s.a.w, melaksanakan syariat Allah sebagai suatu tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Allah SWT.

Allah SWT yang telah melimpahkan kepada kita kemudahan hidup serta kenikmatan yang semakin hari berlipat ganda, semuanya itu adalah anugerah Allah kepada manusia.

Bagi menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Allah SWT, tentulah jalan yang sebaik-baiknya adalah dengan mengajak diri kita serta masyarakat sekelian mematuhi tuntutan sebenar daripada hari raya.

Hendaklah kita menjadikan diri kita hamba kepada Allah, bukan hamba kepada lainnya seperti menjadi hamba kepada tuntutan syahwat.

Manusia sebenarnya adalah hamba, kalau mereka tidak menjadi hamba kepada Allah SWT, maka pasti mereka akan menjadi hamba kepada makhluk Allah iaitu hawa nafsu yang jika tidak ditangani dengan baik, ia mempunyai kekuatan untuk menundukkan manusia supaya mempertuhankannya.

Sebab itu Allah SWT sebutkan dalam al-Quran yang bermaksud, “Apakah kamu tidak melihat manusia-manusia yang telah mengangkat hawa nafsunya menjadi tuhannya, dengannya ia akan tersesat jalan walaupun ianya seorang yang berpengetahuan tinggi.”

Ayat ini mengingatkan kita kepada hikmah berhari raya, jangan sampai kepada menjamu selera hingga membawa kepada perlanggaran batas-batas syarak.

Jangan pula sampai nafsu menjadi tuhan yang secara sedar atau tidak, mereka menjadi hamba tawanan kepada nafsunya, dengan mentaati segala kehendak nafsunya dan membelakangi tuntutan Allah, tuhannya yang mengakibatkan ia tersesat jalan, jauh terbabas ke lembah kehinaan.

Atas itulah maka hari raya mesti diingati sebagai satu pendorong yang mengajak manusia melihat kembali kepada sasaran yang ditujukan dalam kehidupan, samada mengagungkan Allah atau sebaliknya.

Atas itu juga maka salah satu daripada tuntutan syarak ialah mengingatkan manusia semula kepada diri mereka, mengajak melaungkan takbir raya dengan mengagungkan Allah sehingga jadilah hari raya itu benar-benar menepati sasarannya.

Sasaran tersebut adalah dengan mengajak manusia bersyukur ke hadrat Allah kerana telah berjaya melaksanakan tugas puasa Ramadan semata-mata kerana Allah dan berhari raya sebagai tanda berterima kasih ke hadrat Allah SWT.

Tidak ada ertinya hari raya itu bagi orang yang kalah menentang hawa nafsunya, bukan sahaja kalah kerana

tidak berpuasa Ramadan, tetapi kalah dalam tuntutan-tuntutan yang lain daripada puasa seperti menegakkan maaruf kerana Allah, mencegah kemungkaran kerana Allah dan menegakkan syariat Allah kerana Allah.

Selamat berpuasa dan selamat berhari raya. Maaf zahir batin.

DATO' DR HARON DIN
C&P : 30 Ramadhan 1425H