Tuesday, November 23, 2004

Surat terbuka buat Kak Wan


Gambar dari : Malaysia Today

Kepada pembaca yang budiman,
Assalammualaikum Wm. Wb.,

Salam Aidilfitri buat Kak Wan sekeluarga.

Kak Wan,

Semenjak DSAI dipenjarakan sehinggalah dia dibebaskan (dan baru-baru ini DSAI bertemu dengan Pak Lah) saya adalah di antara insan yang setia mengikut perkembangan cerita DSAI. Entah sudah berapa ribu kali agaknya (hampir setiap hari) saya klik laman-laman web tempatan dan antarabangsa yang memaparkan kisah beliau. Bukan kerana sekadar DSAI menjadi Idola saya tetapi jauh dari sudut hati kecil saya mengharapkan DSAI akan mengotai kata-kata beliau .."Lawan tetap Lawan..". Semenjak itu juga beberapa kali juga saya cuba ingin menulis dan meluahkan isi hati saya… tapi saya hanya mampu memendamkannya. Kerana saya tahu kemampuan saya dan siapalah saya untuk orang lain membaca dan menyelami perasaan saya..

Apa yang saya alami dan saya fikirkan mungkin ada banyak persamaan dengan rakan lain terutamanya yang mendokongi Parti KeAdilan. Dengan hati yang tulus ikhlas dan harapan merealisasikan laungan reformasi setiap kali pemimpin KeAdilan (terutamanya Kak Wan) yang datang ke tempat kami untuk memberikan ceramah. Selama itulah juga Parti KeAdilan yang di anggap sebagai parti anak yatim piatu.. (yang punya ibu mithali tetapi tidak segagah keluarga lain yang punya bapa yang berpendirian tegas untuk menentukan masa depan anaknya… hidup hanya bermodalkan semangat dan keazaman tetapi belum dapat merealisasikan impiannya kerana tak mampu dan miskin harta benda dan hanya mengharapkan bantuan dari yang mengerti dan simpati..) tetap saya sokong dan menjadi ahlinya (walaupun belum pernah mendapat surat pengesahan sebagai ahli).

Hampir setiap kali bila kami bersembang tiada lain yang kami sentuh ialah mengharapkan DSAI dapat segera dibebaskan dan menjadi lumrah meluahkan kebencian kami kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang semakin hari semakin kurang diyakini oleh rakyat kerana gejala"RASUAH" yang semakin serius dan tidak mampu membendung masalah sosial di kalangan remaja dan kepentingan umat Islam terutamanya orang-orang Melayu secara bersungguh-sungguh. (Sehinggakan baru-baru ini kita dihidangkan dengan filem yang ada adegan cium dengan penuh ghairah oleh pelakon Islam yang sudah bergelar isteri orang pun tiada siapa yang mampu menegur.. profesional katanya. Muramatsu: Hentikan 7 Perhentian!)

Membaca artikel yang mengatakan DSAI mungkin masuk UMNO semula adalah sesuatu yang memilukan hati saya..(Walaupun saya rasa ianya "tak mungkin.." berlaku). Ia juga kadangkala mengecutkan perut saya kerana seolah-olah apa yang saya harapkan dan impikan tidak akan menjadi kenyataan..(Walaupun saya masih yakin kita manusia hanya mampu merancang…).Persoalannya mengapa saya mesti merasa pilu..? sedangkan DSAI sendiri yang diaibkan dan dipenjarakan sudah tentu merasakan lebih dahsyat dari apa yang saya rasakan (berat mata memandang..). Kak Wan lebih tahu tentang suami Kak Wan dan apa yang Kak Wan harapkan darinya.. setelah Kak Wan bersedih dan mengalirkan air matanya di hadapan kami setiap kali berceramah ke tempat kami… Kami masih percaya perjuangan Kak Wan belum berakhir…(bukan untuk diri dan keluarga Kak Wan saja tetapi untuk ahli-ahli KeAdilan yang setia mendokong perjuangan dan semua rakyat Malaysia yang inginkan reformasi menjadi kenyataan).

Apa yang saya mampu hanya tunggu dan lihat serta berdoa..semoga impian saya..sahabat-sahabat saya menjadi kenyataan..Insya Allah..(Bisikan hati Kak Wan di telinga DSAI tentu lebih berkesan dan lebih menghangatkan …)

Abang Long,
Tebrau.
Adakah kita terlalu pemaaf menyebabkan kita lebih mulia..? (Ruslan Kassim, Lukman Adam...dan huh..sukar untuk orang seperti saya memahaminya..)
(disiarkan di laman M@RHAEN pada 23/11 /04-1700pv sehingga 27/11)

Mungkin keresahan Abang Long ada jawapannya disini...?
Inderaloka : Kalau Pun Terlalu Sayangkan Anwar, Berhati-Hatilah Apabila Menasihatinya
Anwar: Bekerjasama dengan PKR
MNI : Kisah Rakan Sebilik ku (makan, tidur dan buat anak)
Aliran Monthly :Tiada Rundingan Persetujuan Antara Pak Lah dan Anwar

1 comment:

Anonymous said...

Anwar mengelentong rakyat sekali lagi?
Saiful Bahri
Nov 23, 04 2:22pm

Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) secara mengejut di majlis rumah terbuka perdana menteri di Kepala Batas telah menimbulkan kegusaran di kalangan sesetengah pihak, bukan sahaja di kalangan beberapa pimpinan Umno, namun rakyat dan mereka yang mengikuti perkembangan politik DSAI.

Anwar menjelaskan bahawa kehadirannya ke rumah terbuka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas, hanyalah sekadar untuk memperbaharui silaturrahim, mengucapkan tahniah kepada beliau, di samping menyampaikan ucapan Aidilfitri. Namun ada satu persoalan yang tidak terjawab.

DSAI adalah seorang ahli politik dan semua tindak-tanduk dan kenyataannya, tidak dapat lari daripada politik semasa. Ini penting terutamanya apabila keadaan semasa masih samar-samar mengenai agenda masa depan politik Malaysia dan DSAI. Tindakan beliau ke Kepala Batas tidak membantu sama sekali.

DSAI sebelum ini menyanyi mengikut ‘penonton’ tertentu. Malah kalau dikaji, ini hanyalah retorik semata-mata dan mempunyai pandangan dan pendekatan yang berlainan dan bertentangan. Ini terbukti dalam pendekatan yang lain di pentas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS. Persoalannya sekarang ialah apa pula cerita di Kepala Batas (Umno).

DSAI tidak bersikap terbuka dan tidak mencorak satu agenda jelas untuk masa depan politik negara. Apa yang dilakukan oleh beliau adalah mencorak dan membentuk masa depan politik peribadi beliau. Apa gunanya, kerana yang kita harapkan adalah satu politik baru. Politik baru hanya menjadi alat untuk DSAI dalam ceramah beliau, tetapi beliau tidak menyatakan apa dia politik ini.

DSAI bersikap feudal dan tidak terbuka dalam agenda politik negara. Ini kerana beliau tidak berhasrat untuk membawa agenda rakyat. DSAI adalah bekas timbalan perdana menteri Malaysia. Adalah penting untuk beliau bertemu perdana menteri dalam satu ‘equal terms’ dan duduk sama tinggi dan membawa agenda rakyat. Agenda rakyat beliau mesti datang dari masyarakat umum dan dari satu konsultasi umum. Ini harus jelas.

Namum, kini DSAI sudahpun bertemu perdana menteri dan apa matlamat seterusnya? Adakah wujud apa-apa percubaan untuk membentuk agenda rakyat dan konsultasi umum? Tidak. Adakah kita tahu apa yang akan dibincang oleh DSAI dengan perdana menteri apabila ada satu pertemuan nanti?

DSAI bersandiwara dan bersikap feudal dan hanya mementingkan diri sendiri dan politik beliau. Inilah sebabnya kenapa beliau masih berdolak-dalih dan bersifat tertutup. Apapun alasan DSAI, ini tidak munasabah kerana politik baru memerlukan satu keterbukaan serta agenda jelas dari rakyat dan bukan DSAI.

Pertemuaan beliau dengan perdana menteri baru-baru ini dilihat sebagai satu lagi percubaan beliau untuk mengambil hati golongan Umno/Pak Lah, sepertimana beliau lakukan kepada golongan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam PKR dan ulama dalam PAS.

Apa yang berlaku sekarang adalah 'typical of DSAI'. Masuk kandang kambing mengembek dan lain pula bunyinya bila masuk kandang kerbau kelak. Yang jelas, sandiwara seperti ini pernah beliau lakukan sebelum ini dan jelas hanya untuk politik beliau.

Adakah ini budaya politik baru Malaysia atau jalan untuk mengelentong rakyat sekali lagi?
petikan dari ;Malaysia Kini